Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Lumapas 'B'
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 10 Mei. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, Ketua Kampung Lumapas 'B' dalam ucapannya percaya bahawa hubungan yang baik antara pihak kampung dan sekolah adalah sangat penting kerana sekolah bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu bagi anak-anak, malah turut menjadi sebahagian daripada pusat pembangunan sosial dan kemasyarakatan di kawasan ini.
Melalui perjumpaan seperti ini, Yang Berhormat menyatakan, kedua-dua pihak dapat berbincang secara terbuka mengenai pelbagai perkara yang melibatkan kepentingan masyarakat, kebajikan para pelajar, keselamatan persekitaran sekolah, penggunaan kemudahan awam, serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung dan warga sekolah secara keseluruhannya.
Pada Sesi Muzakarah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas 'B' bersama Sekolah Rendah Lumapas, Yang Berhormat menjelaskan, pihak MPK Lumapas 'B' amat percaya bahawa komunikasi dan kerjasama yang berterusan adalah kunci utama dalam menjamin kesejahteraan semua pihak.
“Dengan adanya hubungan yang erat dan persefahaman yang baik, sebarang isu atau perkara yang timbul dapat dibincangkan dan diselesaikan secara bersama melalui semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati.
“Pihak kami amat menghargai kesudian pihak sekolah untuk bekerjasama dan memberikan pandangan serta cadangan yang membina agar segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik, teratur dan memberi manfaat kepada semua pihak tanpa menjejaskan persekitaran pembelajaran dan kemudahan sekolah," ujar Yang Berhormat semasa muzakarah berlangsung di Sekolah Rendah Lumapas.
Tambahnya lagi, adalah menjadi harapan kita bersama agar hubungan erat yang terjalin antara MPK Lumapas 'B' dan pihak Sekolah Rendah Lumapas akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.
“Semoga kerjasama yang dibina ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan lebih banyak program dan aktiviti yang dapat memberi impak positif kepada masyarakat kampung, warga sekolah serta generasi muda pada masa hadapan.
“Kami amat menghargai layanan baik, kerjasama serta keterbukaan pihak sekolah dalam meluangkan masa untuk sama-sama hadir bagi membincangkan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan bersama," ujar Yang Berhormat lagi.
Sesungguhnya, katanya, penerimaan dan kesudian pihak sekolah untuk terus menjalinkan hubungan serta kerjasama bersama masyarakat kampung amatlah bermakna dan mencerminkan semangat perpaduan serta tanggungjawab bersama dalam memastikan kesejahteraan komuniti di kawasan Lumapas sentiasa terpelihara.
Seramai 12 Ahli MPK berkenaan hadir pada perjumpaan yang diketuai oleh Yang Berhormat dan Guru Besar Sekolah Rendah Lumapas, Dayang Hasdinah Faranom binti Haji Mohd. Hassan serta pihak-pihak tertentu sekolah berkenaan.
Perjumpaan itu merupakan kesinambungan daripada perjumpaan pertama yang telah lalu yang memberikan ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling mengenali dengan lebih dekat, bertukar pandangan serta membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan bersama, khususnya dalam memastikan hubungan baik antara masyarakat kampung dan institusi pendidikan sentiasa terpelihara dan diperkukuhkan.
Perjumpaan itu juga merupakan usaha dengan matlamat untuk mempereratkan hubungan kerjasama dan komunikasi di antara MPK Lumapas 'B' dan pihak sekolah.